Wednesday, September 19, 2007

Sedu Semput

Sungguh keji kurasakan kebelakangan ini kerana menuruti sahaja kehendak pemikiran jelikku yang memohon perhatian sesetengah pihak. Tidak perlu kunyatakan di sini siapakah gerangan manusia yang terlibat namun keadaan ini akan kupantau supaya tidak merebak menjadi wabak kelak. Keji juga apabila diriku sewenang-wenangnya melutut kepada mood dan perasaan yang kebelakangan ini semakin suka menaiki buaian daripada kekal di tempat sepatutnya ia berdiri. Hanya membuatkan ku kalut dan semput dan bisa buat jiwaku kaput.

Seperti yang telah kuduga sebelum ini, kadangkala bila jiwa semakin alpa, maka aku jatuh tersembam menyembah bumi dan bukankah itu menyakitkan diri dan lebih teruk lagi membuatkan sang penonton ketawa geli hati. Takkan ku biarkan cubaan dan dugaan melemahkan semangatku yang tak seberapa ini hanya kerana aku punya jiwa yang kerdil, tidak bermakna aku bacul dan pengecut yang hanya tahu menjuraikan air jernih dari kelopak mata dan menjejehkan air jernih likat dari gua yang berkembar itu. Kenapa perlu aku?

Lalu aku renung kembali jalan yang ku tempuh penuh liku. Syukur saja kerana tidak tertusuk sembilu kerana jalan yang kulalui walaupun berliku namun masih gersang dan tandus dari segala onak dan duri. Jadi aku kira aku belum layak menyertai sebarang contest penjelajahan berbiku-biku penuh ranjau yang sudah pasti memerlukan aku meredah halangan tak bertepi kerana ternyata aku masih tidak punya pengalaman yang cukup untuk itu semua. Namun tidak mustahil aku akan menempuhnya kelak walaupun aku sendiri tidak pasti adakah aku bersedia ataupun tidak.

Mudah sahaja untuk membayangkan. Cuma yang tidak mudah hanyalah apabila aku sendiri berdepan dengan kenyataan. Jadi persoalan tercetus lagi. Tapi kali ini biarlah ruang jawapan ku biarkan tak berisi.

No comments: