Tuesday, September 25, 2007

Memori Sebuah Lagu

Tadi aku berbual-bual dengan seseorang melalui YM sambil mendengar lagu-lagu dalam playlistku ini. Memang itulah yang aku lakukan saban malam, tetapi tadi tiba-tiba ada sesuatu yang mengganggu fikiran.

Bukannya aku ada masalah dengan teman berbualku itu. Apatah lagi masalah peribadi. Tidak sama sekali. Tapi ianya disebabkan oleh lagu yang berkumandang. Sungguh tidakku sangka, lagu itu boleh membuatkan aku teringat kepada seseorang dan seterusnya membuatkan fikiran aku melayang ke tempat lain.

Lagu itu sebetulnya pernah didedikasikan untuk aku oleh seseorang. Jadi, sebaik saja aku terdengarkan lagu itu, terus saja aku hilang tumpuan. Tiba-tiba filem kenangan giat berputar dalam layar otakku ini. Betapa sebuah lagu berjaya membangkitkan memori kenangan silam kan?

Baru aku tersedar, mungkin disebabkan inilah maka kebanyakan pasangan bercinta saling menujukan lagu kepada satu sama lain supaya dapat memahat kenangan mereka dalam lagu-lagu tersebut selain dapat meluahkan segenap perasaan mereka melalui lirik yang terkandung dalam sesuatu lagu itu.

Mungkin aku naif kerana lewat menyedari kepentingan sesebuah lagu dalam sesuatu perhubungan. Dan mungkin saja aku memang sedia maklum tetapi tidak pernah memikirkannya secara mendalam. Namun hari ini, baru aku benar-benar mengerti tetapi malangnya lagu tersebut hanya membangkitkan memori luka, bukannya membangkitkan rasa cinta dan kenangan indah kami bersama.

Mahu saja aku memadam lagu itu dari senarai playlistku itu. Tetapi untuk apa, aku menghargai keindahan lagu tersebut. Malah lagu itu pernah aku perdengarkan setiap kali aku rindukan beliau ketika kami masih berhubungan. Sayang sekali, lagu itu kini menjemput rasa sedih. Jadi aku cuba sedaya upaya untuk mengikis memori pahit yang dibawa oleh lagu itu. Aku harap aku berjaya...

No comments: