Sunday, September 2, 2007

Merdeka!!!

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 50. Aku harap aku masih belum terlambat untuk membuat entry berkenaan hari ulangtahun kemerdekaan ini lantaran ianya sudah berlalu tiga hari lepas. Namun atas kesibukan (buat-buat sibuk sebenarnya) aku tak sempat nak buat entry ini lebih awal, jadi aku mengambil kesempatan yang ada sekarang untuk menaip seberapa baik bagi menceritakan serba sedikit berkenaan aktiviti aku di hari tersebut, yakni di ambang mereka, 30 Ogos 2007.


Sebelum aku bercerita mengenai aktiviti aku, ada baiknya aku meluahkan perasaan aku berkenaan merdeka dalam beberapa baris ayat. Aku sebagai seorang warganegara Malaysia, yang cintakan tanahairku ini, sungguh berbangga dan gembira dengan apa yang Malaysia capai sekarang. Betapa aku terhutang budi kepada pejuang-pejuang kemerdekaan kita di masa lalu kerana perjuangan mereka yang tidak mengenal erti kalah dalam menuntut kebebasan sebuah negara yang disebut M E R D E K A. Dan aku berharap semoga Malaysia kekal makmur aman bahagia sampai bila-bila dan rakyatnya (kita semua) bersatu padu mengekalkan erti sebenar sebuah kemerdekaan.


Aku sebenarnya tidak membuat sebarang rancangan untuk menyambut atau meraikan hari kemerdekaan mahupun sebarang pesta ambang merdeka. Bukan kerana aku tidak punya semangat patriotisma yang tinggi, tapi aku sebenarnya agak keberatan untuk bersesak-sesak kerana itu akan menyebabkan aku rasa rimas dan gelisah. Jadi aku bercadang untuk meraikannya di rumah sahaja dengan menonton tv dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya. Walaubagaimanapun, tepat jam 11 malam tanggal 30 haribulan lapan, Mr Shrek mendapat satu idea di mana amat wajar untuk aku pertimbangkan. Dengan lagak seperti seorang insan sesat yang baru mendapat hidayah, beliau dengan tiba-tiba telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi "Malaysia dah merdeka 50 tahun, kita sepatutnya merasa bangga dan keluar menyertai orang lain menyambut merdeka untuk dijadikan kenang-kenangan kerana kita mungkin tak akan sempat untuk menyambut hari kemerdekaan Malaysia yang ke 100 tahun kelak". Ayat itu biasa-biasa saja, namun dengan tak semena-mena aku pun mendapat semangatnya dan lantas aku bersetuju dengan idea beliau untuk keluar menyertai seluruh rakyat Malaysia untuk menyambutnya dengan gembira. Ahaha.. ayat apa yang aku taip nih? Hikss..


Memandangkan masa semakin suntuk, kami mengambil keputusan untuk pergi ke Putrajaya sahaja kerana lokasinya yang berdekatan. Sesampainya di sana, keadaan amat sesak, dan kami terpaksa memarkir kereta agak jauh dan berjalan kaki sahaja ke tempat kejadian. Aku kurang pasti apakah kemeriahannya, tetapi apabila menonton persembahan bunga api sambil diiringi laungan dan jeritan umat manusia, barulah aku semakin mengerti (walaupun masih terpinga-pinga). Walau bagaimanapun, aku agak seronok menonton persembahan bunga api tersebut walaupun aku tidak berapa pasti apakah relevannya bunga api dengan merdeka. Hmmm..tapi tak mengapa, aku anggap ianya cuma sebagai trend semasa dan sempat juga aku mengambil gambar kenang-kenangan.



Bunga api merdeka

Color effect tak hengat punye..heh

Sebetulnya aku lebih gemar melihat gelagat manusia yang pelbagai ragam dan gaya. Semua kaum, kecik besar tua muda turut sama-sama meraikan. Bayangkan, dengan keadaan malam yang agak lewat, semuanya termasuk kanak-kanak kecil diberi kebebasan untuk menyertai pesta diambang merdeka tersebut. Meriah juga. Heh..mungkin bagi kanak-kanak kecil tersebut, itulah kebebasan sebenar yang perlu mereka kecap biarpun sebentar cuma sebelum kembali ke rutin asal yang menuntut mereka tidur awal saban malam. Aku tak mahu sebut tentang gelagat muda mudi yang keluar yang mengambil peluang keluar dengan pasangan masing-masing kerana seperti yang kita sedia maklum, itu juga merupakan satu kebebasan. Hikss...


Waktu pulang merupakan waktu yang agak menyenakkan perut dan menyakitkan hati kerana lalulintas sangat sesak memandangkan masing-masing berpusu-pusu keluar dari Putrajaya menuju ke kediaman masing-masing ataupun ke destinasi seterusnya bagi sebahagian yang belum bersedia pulang ke rumah. Perghhhh...punyalah sedap mengadap jem, jem strawberi pun tak sesedap itu aku kira. Heh.. Tapi aku tetap melaluinya dengan tabah dan aku mengambil peluang tersebut sebaik mungkin dengan berbual santai dengan Mr Shrek. Satu perkara yang amat jarang kami lakukan kerana beliau sentiasa sibuk kebelakangan ini. Lagipun ada beberapa insiden yang agak menghiburkan sewaktu kami dalam keadaan tersangkut dalam kesesakan tu. Kalau kamu semua nak tahu, adalah seorang wanita ni, kereta beliau naiki bergerak sebelah kereta aku. Memandangkan waktu tuh aku yang memandu, dan beliau pula duduk di seat sebelah pemandu yang juga seorang wanita, maka aku memang nampak jelaslah wajah wanita tu. Sekali aku tengok dia tengah menangis daaaa...Hikss.. Aku suruh Mr Shrek tengok dan beliau pun mengiyakan bahawa wanita tu memang tengah menangis. Jadi dek kerana bosan, aku dan Mr Shrek mula membuat andaian apakah yang membuatkan wanita itu menangis. Mr Shrek kata, mungkin beliau sedih sebab teman lelaki beliau buat hal dan cancel date mereka untuk sambut merdeka bersama-sama. Tapi aku fikir, wanita tu menangis mungkin sebab beliau tak ada teman lelaki, jadi beliau sedih bila tengok semua orang keluar dengan teman lelaki masing-masing. Atau mungkin juga beliau tak tahan stress terperangkap dalam jem strawberi tuh kan. Tapi akhirnya persoalan terungkai juga apabila wanita itu menguap banyak kali dan setiap kali itulah airmatanya berjuraian di pipi. Ahahaha...wanita tuh mengantuk sebenarnya!!! Mungin memang sejak azali lagi beliau akan mengeluarkan airmata setiap kali menguap. Hikkss..serentak aku dan Mr Shrek ketawa terbahak-bahak. Terhibur hati aku tau. Heh.


Jem strawberi kan?? Hikss



Aku sampai rumah kira-kira jam 2.30 pagi dan aku menghabiskan banyak masa berfikir tentang apa sebenarnya maksud kemerdekaan dalam diri kita sendiri. Aku tahu setiap orang punya persepsi masing-masing tentang maksud kemerdekaan, jadi biarlah semuanya menjadi petunjuk untuk diri masing-masing. Jadi sekian saja cerita pasal merdeka. Cuma aku harap soal kemerdekaan bukanlah hanya patut diingati pada hari kemerdekaan sahaja..tetapi setiap masa. Walaupun negara kita sudah merdeka, tetapi adakah jiwa dan minda kita juga sudah merdeka? Sama-sama kita fikirkan.

No comments: