Thursday, September 20, 2007

Sandiwara Amarah

Siapa bilang perasaan marah itu tidak indah? Indah saja kalau kena dengan cara dan gayanya. Lebih indah lagi bila punya sebab musabab yang yang munasabah. Namun adakah benar?


Aku terpanggil untuk berbicara soal marah. Kerana kebelakangan ini, ramai saja umat-umat di sekelilingku marah-marah. Kenapa perlu marah? Tentu saja kerana sesuatu yang berlaku bukan seperti mana yang mereka inginkan. Ataupun sesuatu yang berlaku begitu mencabar naluri kesabaran. Mungkin juga perkara yang berlaku di luar jangkaan. Walau apa sahaja yang menjadi punca, sudah pasti ianya bukanlah sesuatu yang menyenangkan kerana belum pernah kutemui sebarang perkara yang baik yang boleh menjadi alasan kemarahan, kecuali untuk iblis dan sekutunya bukan?

Marah atau diam? Dua perkara yang berbeza aku pasti. Diam tidak bermakna tidak marah, dan orang yang marah juga boleh diam dengan syarat memendam saja di dalam hati. Namun bukan itu persoalannya. Rata-rata, kalau sebut marah itu, terus saja kita terbayang rungutan, herdikan, cacian, makian dan sumpah seranah dan bermacam cara luahan lagi. Dan terus terang, fenomena ini yang kerap aku lihat kebelakangan ini. Manusia begitu lantang melaung kemarahan tanpa dapat ditahan-tahan lagi seolah-olah naluri kesabaran mereka tidak lagi menjalankan tanggungjawab membentengi kematangan. Kasar. Emosional. Nilai kematangan diragut oleh kekuatan amarah yang menguasai diri.

Marah itu wajar. Namun biar dengan cara terhormat. Hanya kerana tunduk dengan nafsu amarah, nilai kematangan diri dipertikai sesetengah pihak. Urus kemarahan dengan baik dan bijak. Itu lebih membantu menyelesaikan masalah dari membiak. Bukankah amarah itu jalan ke arah kebencian dan kita semua tahu kebencian itu sebahagian dari seksaan dan kemusnahan. Kalaulah kita dapat bersabar dan berfikir panjang. Tentu semuanya jadi aman dan tenteram. KALAU. Jadi pasti saja itu tidak akan berlaku. Selagi manusia itu bernama manusia, mana mungkin semuanya serupa. Jadi tepuk dada tanya selera.

Siap sedia saja dengan bertih jagung dan segala kerepek yang lain. Memang itu yang aku kepingin, dihibur sandiwara pentas dunia bagi mengubat hatiku yang lara dan dingin.

No comments: