Saturday, September 15, 2007

In The Mood For Love

Ramadhan datang lagi. Aku gembira hari itu sebab berpeluang berjumpa teman-teman karib yang sama-sama belajar di pusat matrikulasi dulu. Sudah lama kami bercadang hendak berbuka puasa bersama tapi sering sahaja tidak berpeluang. Akhirnya waktu itu tiba jua, dan kami mengambil keputusan untuk berbuka di Bazaar MPS Seremban.

Kami betul-betul seronok hari itu, maklumlah masing-masing punya cerita yang tersendiri memandangkan kami sudah terpisah beberapa lama. Sesungguhnya berbuka puasa dengan rakan-rakan karib memang menceriakan dan kami lebih leka berbual daripada menikmati juadah berbuka puasa. Namun kerana tempoh yang agak suntuk kerana kewajipan solat Maghrib juga perlu dilunaskan, maka kami terpaksa menyingkatkan kegilaan kami. Oleh kerana aku punya wang yang lebih, jadi aku mengambil keputusan untuk membiayai majlis kecil itu. Lalu aku sendiri pergi ke kaunter untuk menjelaskan bil, sementelah rakan-rakan yang lain pergi ke surau di tingkat bawah.

Sementara menunggu makcik itu memulangkan wang baki, aku sempat memandang sekeliling dan pandangan aku tertancap kepada dua orang jejaka yang duduk di meja tidak jauh dari kaunter tersebut. Aku tertarik kerana mereka berdua sedang memandangku dengan tepat dan sedikit sebanyak membuatkan aku berasa tidak selesa. Aku pandang lagi sekali sebelum aku berlalu pergi, namun pandangan mereka masih tidak berganjak dari mengekori kelibatku. Aku hanya tersenyum sendiri dan mengalihkan haluan ku menuju ke surau di tingkat bawah untuk menunaikan kewajipan.

Selesai urusan kami di surau, aku dan teman-teman mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke Terminal One Shopping Centre untuk memenuhi tuntutan hasrat kami yang sebetulnya amat suka meronda-ronda sambil bergurau senda. Sedang kami berbual-bual sambil berjalan, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi orang sedang berlari-lari dari arah belakang. Aku yang mengetuai rombongan serta merta berteriak kepada rakan-rakanku agak memberi jalan kepada jejaka tersebut kerana memang tidak dinafikan, kami telah menghalang laluan pejalan kaki tersebut. Namun langkah kaki kami semua terhenti apabila jejaka yang berlari-lari tadi tiba-tiba berhenti di depan mata.

"Hi, excuse me, my name is bla bla bla....." Aku tak berapa ingat apa yang dikatakan beliau, malah namanya juga tidak kuingati kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba. Namun yang pasti beliau berbahasa Inggeris sepenuhnya! Pada mulanya aku fikirkan beliau mahu bertanyakan arah atau sebagainya, namun apabila beliau mula bertanyakan nombor telefon, baru aku tersedar yang beliau sedang menyatakan keinginannya untuk berkenalan. Heh, dalam keadaan separa kaget, akhirnya aku punya kekuatan untuk menjawab, dan aku katakan kepada beliau yang aku tidak punya nombor telefon memandangkan aku baru sahaja kehilangan telefon bimbit beberapa hari sebelum itu. Beliau masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan, lantas mengambil sehelai kertas dari koceknya dan diatas kertas itu tertera alamat e-mail sambil menyatakan harapan agar aku sudi mengirimkan sesuatu ke alamat emailnya itu. Tanpa berfikir panjang, aku juga memberi alamat e-mail aku kepada beliau dan beliau menulisnya di telapak tangan.

Sewaktu beliau sedang menulis dengan berhati-hati setiap huruf yang aku sebutkan, aku mengambil kesempatan melirik kepada wajah teman-temanku yang rata-rata tersenyum dan tersengih-sengih atas insiden yang tidak diduga itu. Kemudian aku mengamati dengan jelas wajah jejaka tersebut sambil dalam hati aku berkata "Wah, handsomenya mamat nih" walaupun aku sendiri tidak pasti jejaka tersebut berbangsa apa, namun aku hampir pasti jejaka tersebut berbangsa Cina kerana iras muka dan warna kulitnya yang cerah di tambah pula dengan bahasa yang digunakannya. Selesai sesi bertukar-tukar alamat e-mail, beliau mengucapkan terima kasih dan beliau sempat tersenyum dan mengucapkan beberapa patah ayat yang berbunyi " You're beautiful, and I really hope to hear from you soon. Take care" lalu berjalan menuju ke bazaar semula.

Aku yang hampir terpukau, kembali ke alam nyata apabila teman-temanku yang sedari tadi menonton babak pendek tersebut menghamburkan kata-kata mereka diiringi dengan deraian ketawa. Masing-masing memberikan komen yang positif dan menyifatkan itu adalah babak terindah yang pernah disaksikan depan mata mereka dan aku sendiri mengakui, ianya memang indah. Dan yang lebih mengujakan apabila mereka tidak putus-putus memuji kekacakan rupa paras jejaka tersebut dan betapa mereka kagum dengan cara jejaka itu yang disifatkan sebagai seorang yang sungguh berani dan gentleman. Aku hanya mampu tersengih-sengih tidak percaya dan terus-terusan membelek kertas yang tercatat alamat e-mail jejaka tersebut sebelum menyematkannya ke dalam dompet dengan hati yang gembira bukan kepalang.

Kisah itu tidak berakhir di situ, malahan rakan-rakanku tidak putus-putus memperkatakannya walaupun kami waktu itu sedang menuju ke kediaman salah seorang rakanku. Mereka sungguh teruja untuk melihat aku berbuat sesuatu supaya perkenalan dengan jejaka itu tidak terhenti di setakat itu sahaja. Dorongan dari teman-teman membuatkan aku sendiri tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada perbualan kami selepas itu kerana aku semakin hanyut dengan angan-angan aku untuk mengenali jejaka itu dengan lebih dekat. Malam itu aku kira, aku telah berjumpa seseorang yang sungguh menarik perhatian walaupun aku sedikit kesal kerana tidak berupaya untuk mengingat nama beliau. Aku bertanya kepada teman-temanku, namun mereka juga tidak dapat memberikan jawapan dengan tepat nama dan bangsa jejaka tersebut. Malam itu aku tidur dengan perasaan yang bercampur baur, sambil dalam hatiku berkira-kira apakah yang perlu aku lakukan. Adakah aku patut memulakan segalanya, atau biarkan jejaka itu memulakan langkah pertama? Lalu aku mengambil keputusan, biarlah masa yang menentukan.

Setelah tujuh tahun berlalu, kini, Ramadhan datang lagi. Namun kenangan terindah tersebut masih terpahat dalam ingatan. Itulah antara kisah terindah dalam hidup aku kerana pada malam itulah, buat kali pertama aku bertemu jejaka idaman. Jejaka yang aku sendiri tidak pasti identitinya, sungguh misteri dan aku kira sungguh istimewa kerana kehadirannya tidak pernah disangka-sangka. Namun kini, aku tidak lagi perlu berteka teki mengenai identitinya, kerana beliau telahpun aku kenali. Apabila aku mengenang kembali perasaanku di malam bersejarah itu, aku bangga kerana akhirnya impianku menjadi nyata. Nak tahu siapa beliau? Beliah adalah salah seorang dari dua jejaka yang memandangku tanpa jemu sebelum itu dan itulah dia, love of my life - Mr Shrek....

Jatuh cinta pandang pertama? Ya, kami akui. Dan ianya di bulan Ramadhan. ;)

2 comments:

Anonymous said...

Siapa sangka perhubungan yang awalnya menjadi misteri akhirnya berlansung dengan penuh tragedy, penuh conflict dan incident yang meruntun jiwa dan perasaan. Namun segala peristiwa samada ianya panas, sejuk dan terbakar adalah yang paling menggembirakan dalam sebuah kehidupan, kehidupan percintaan. itulah yang sebenarnya : love, life & rock n' roll........indy love....forever

Smoochy Munchkin said...

yeahhhh...love, life & rock n' roll..
panas, sejuk dan terbakar..perghhh, it really describes everything eyh Mr Shrek? hahaha...neway, thank you for loving me. i can't never find any guy better than u, really. ;)