Wednesday, August 1, 2007

Tenang

Pagi yang nyaman. Pengalaman tidurku malam tadi sungguh tidak dapat terungkai dengan kata-kata kepuasannya laksana meminum air sirap sejuk sewaktu berbuka puasa. Setelah satu setengah hari tanpa tidur yang cukup, malam tadi barulah aku mampu tidur dengan nyenyaknya.

Aku sedang menaip blog ini sambil sesekali menghalakan anak mataku ke sekeliling laman rumah yang luas terbentang. Aku membuat sedikit pemerhatian hari ini. Cuaca redup, mungkin kerana hari masih terlalu pagi dan aku berharap sang mentari akan muncul sebentar lagi memandangkan mesin basuhku sedang berusaha gigih membasuh pakaian kotor yang dilonggokkan hampir seminggu. "i'm giving you a hard time ya washing machine" getusku dalam hati tanda pura-pura concern.

Rumput bercampur pohon lalang menggamit perhatian. Tidak ku sangka lalang itu telah meng-over shadow kecantikan rumput kerana mereka lebih tinggi dari yang sepatutnya yakni separas betis seorang dewasa, lalu menimbulkan sedikit kemarahan kerana tidak menepati citarasa mata dan akalku. Tidak boleh tidak, aku harus melenyapkan lalang biadap itu secepat mungkin supaya jiran-jiranku tahu yang aku masih bernyawa di dalam rumah ini.

Burung-burung yang berkicauan di dalam sangkar besar di belakang rumah jiranku juga berjaya merebut perhatianku. Eh, ada sesuatu yang kurang. Burung hijau yang aku sendiri tidak tahu nama spesisnya yang selama ini ada empat ekor telah menjadi tiga ekor sahaja. Oh, mungkin burung itu telah menjadi arwah kerana kekurangan zat atau gara-gara hujan lebat yang seringkali melanda lewat kebelakangan ini. Aku tumpang simpati walaupun aku sendiri kurang pasti nasib sebenar burung hijau tersebut.

Aku meninjau sekeliling, semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja dan tiada apa yang menarik untuk diperkatakan. Tambahan pula jiranku sedang menyidai kain di sepanjang pagarku lalu menghadkan pandangan. Yang kelihatan hanyalah corak-corak batik dan dan corak kotak-kotak kain pelekat selain baju-bajan pelbagai saiz dan warna. Mujur sahaja pakaian cilik berbentuk segitiga bermuda tidak ada sekali, kalau tidak harus aku merasa sungguh geli geleman. Huh.

Walau apa pun, aku kira hari ini adalah hari yang indah dan membuatkan mood ku berada dalam keadaan cukup baik. Yeah, what a good start for a day. :)

No comments: