Thursday, November 15, 2007

Karung Ajaib

Gara-gara tadi aku menyebut perkataan penyapu ajaib, terus aku terkenang satu peristiwa di masa lalu.


*********************************************************************************

Dulu, sewaktu aku bersiap-siap memasukkan pakaian ke dalam beg untuk dibawa ke satu tempat yang jauh lagi asing, aku disapa lembut oleh ayahku. Destinasi yang dimaksudkan adalah MRSM Muar, tempatku menimba ilmu dari tingkatan 4 hingga 5.

Aku yang sibuk mengemas-ngemas apa yang patut, terus terbantut setelah disapa lembut oleh ayahku. Ayahku duduk di sampingku dan kemudian menyerahkan sesuatu. Ianya sekeping foto dimana terdapat imej dua orang di dalamnya, iaitu ibu dan ayahku. Aku tersenyum. Aku tahu aku akan merindui mereka dan aku amat-amat memerlukan foto itu sebagai salah satu bekalanku kelak.

Ayahku memberi sedikit pesanan dan setelah itu ku sisip kemas foto itu ke dalam beg. Kemudian berlepaslah aku ke tempat asing tersebut dengan membawa satu semangat baru.

Melewati malam pertama tanpa ibu dan ayah buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun bukanlah mudah. Tanpa kusedari, tanganku laju mencari foto mereka. Aku belek-belek sambil menangis. Aku homesick. Tapi ada sesuatu luarbiasa yang menarik perhatianku. Di belakang for tersebut rupanya terdapat satu ayat yang berbunyi:

"Ingatlah, bersamamu sentiasa ada karung ajaib"

- Abah-


Kukesat airmata dan segera berlari ke pondok telefon berdekatan. Aku ingin tahu apa maksudnya. Ayahku hanya tertawa lalu kemudian beliau menerangkan, karung ajaib itu adalah otak ku sendiri. Kenapa ia dinamakan karung ajaib? Kerana walau sebanyak manapun benda yang aku masukkan ke dalamnya, nescaya karung itu tidak akan penuh. Dan walau sebanyak mana aku keluarkan isinya, karung itu tidak akan pernah kosong.

Barulah aku mengerti apa maksud karung ajaib tersebut. Itulah bekalku yang paling penting sewaktu menimba ilmu. Dan ayahku mengingatkan aku tentang itu. Beliau berpesan, tak perlu aku bersedih berjauhan dengan mereka, bukankah kenangan bersama mereka juga sudah aku masukkan ke karung ajaib?

Aku tersenyum sendiri. Lalu berbisik dalam hati, ya aku ada karung ajaib. Aku tidak perlu risau lagi. :)

No comments: