Monday, February 2, 2009

Once Upon A Time… (Kejahatan Itu Subjektif?)

Kadangkala, memang agak sukar untuk menafsir keperibadian seseorang. Manusia memang punya pelbagai ragam. Sesetengah orang suka bermuka-muka dan adakalanya ada juga manusia yang begitu telus dan lurus dan selebihnya mereka mungkin lebih cenderung bersikap misterius.

Aku pernah bertanya kepada abah. Kenapa ada segelintir manusia yang cenderung berlaku jahat, jadi criminal, jadi seseorang yang tegar melakukan perkara yang rendah moralnya atau menjadi macam-macam lagi karakter yang diklasifikasikan sebagai jahat.

Abah jawab, siapa kita untuk menilai kejahatan seseorang. Adakah kerana seseorang itu memperlihatkan perlakuan jahat, kita layak menilai atau melabel mereka jahat. Abah berkata lagi, orang yang memperlihatkan perlakuan jahat mereka secara terang-terangan juga ada baiknya. Sekurang-kurangnya mereka secara jujur memperlihatkan diri mereka sebagai orang jahat. Berapa ramai lagi manusia yang berkemungkinan ‘jahat’ tetapi tidak dilabel sebagai orang jahat hanya kerana mereka tidak mempamerkan kelakuan jahat mereka. Itu mungkin lebih banyak.

Aku terdiam sejenak untuk mencerna kata-kata abah dan mencari logik disebalik kata-katanya. Aku kurang faham…jadi aku bertanya, jadi sebenarnya siapa lebih jahat? Abah hanya ketawa. Abah jawab “kan abah dah cakap tadi, siapa kita untuk menilai kejahatan seseorang”. Aku hanya tersengih.

Abah kemudiannya memberi contoh begini. Penipuan adalah tetap satu penipuan sama ada diluahkan melalui kata-kata ataupun dipendam sebagai rahsia. Jadi kembali kepada topic asalnya…manusia menggelar orang yang menyuarakan penipuan sebagai penipu (jahat), tapi bagaimana pula dengan orang yang tidak menyuarakan penipuan, sebaliknya merahsiakan kebenaran. Jadi apa pula yang kita gelarkan?

Sebelum mengakhiri perbualan kami, abah sempat berpesan, kita lebih mudah untuk mengelak bila kita nampak, tapi apa yang kita tak nampak itulah yang selalunya sukar untuk dielak dan lebih mudah mempengaruhi kita. Jadi hati-hati, pesan abah. Orang yang sebenar-benarnya celik menggunakan mata hati katanya lagi.

Sampai sekarang aku masih ingat pesanan abah. Perbualan ini berlaku sewaktu aku berumur 12 tahun, bertempat di doorway rumah ketika aku bermain batu seremban. Kata-kata abah itu membuatkan aku semakin berminat untuk mengkaji sifat manusia melalui tindak tanduk mereka. Aku menjadi seorang yang observant…dan mungkin juga pernah satu ketika aku berasa seperti seorang pakar psikologi. Gila kan. Heh.

Apabila aku semakin menginjak dewasa, baru aku mengerti apa yang cuba disampaikan oleh abah. Mungkin tidak secara khusus, tetapi sekurang-kurangnya aku nampak gambarannya secara umum. Walaupun sehingga kini aku masih belum benar-benar pandai menggunakan mata hati, but yeah…at least aku tahu ianya satu senjata perlindungan yang penting.

Kesimpulannya, mungkin inilah yang membawa kepada perumpamaan “Don’t judge a book by it’s cover”. Ya..mungkin benar..dan mungkin juga tidak. It’s subjective anyway. Heh.

No comments: