Sunday, July 29, 2007

Ujian Pertama

Lantaran sikapku yang tergopoh gapah tidak ubah seperti Betty Soy La Fea, telenovela kegemaranku seisi rumah sewaktu zaman pengajian di universiti dulu, aku menerima akibat yang sungguh tidak disangka- sangka.

Niatku yang kukira amat baik, yakni memanaskan sup cendawan di dapur untuk santapan tekak dan perutku yang tidak pernah puas, aku terpaksa berdepan dengan dugaan yang agak hebat. Entah kenapa aku sungguh ghairah untuk melihat penunu gas sambil memetik picu dapur gas tersebut. Lalu tak semena-mena, udara panas menerpa ke wajah ghairahku lalu menyambar apa yang patut di sambar. Hasilnya, bulu mataku bergulung-gulung dan merapuh bila kusentuh, lalu terjadilah fenomena bulu mata pendek yang sama sekali tidak digemari oleh wanita perasan cantik seperti diriku.

Dalam hati aku terkedu, baru sahaja aku bercita-cita untuk cantik luar dan dalam, aku diuji sebegini rupa. Mungkin aku perlu kuburkan sahaja impian menjadi cantik diluar itu, fokuskan tentang kecantikan dalaman sahaja. Peristiwa tersebut aku jadikan iktibar, adalah lebih manis sekiranya aku bersyukur sahaja dengan apa yang ada. Huhu.

No comments: