Sunday, July 29, 2007

Prologue Part II

Seperti seekor ulat beluncas berwajah hodoh yang hanya duduk dalam kepompong kertas dan kemudian mengalami transformasi menjadi rama-rama yang sungguh berseri, sebetulnya aku mendapat idea dari sini untuk merubah diriku menjadi lebih baik walaupun ku tahu aku takkan mampu menjadi secantik rama-rama. Dan jika aku mampu sekalipun, aku terpaksa mengeluarkan belanja yang bukan kepalang demi memenuhi tuntutan nafsu serakahku yang hanya akan menjadikan aku salah seorang tetamu terhodoh di akhirat kelak. Kecantikan itukah yang aku cari?

Lalu kali ini dengan pemikiran sedikit kritis dan emosi, aku gagahi untuk mengikis imej manusia durjana yang tergamak memperdajalkan katak dan menghina rupa seekor ulat beluncas, dan mula memikirkan tentang suatu yang lebih indah dan bermakna, bermula dengan mengagumi kecantikan rama-rama dan menyenangi sifatnya yang begitu mesra dan tanpa jemu memberi kepuasan kepada mata yang melihat dan memberi kedamaian kepada hati yang merasa walaupun sang rama-rama itu tahu, dia tidak akan hidup lama.

Aku pasrah. Dengan ikhtiar yang amat sedikit lantaran sikap malasku yang bermaharajalela di dalam setiap aliran darahku, aku tahu impianku untuk menjadi manusia yang lebih baik akan menemui pelbagai rintangan. Dapat kugambarkan ianya seperti manusia gendut yang punya lemak berlapis-lapis yang ingin mendaki sebuah gunung yang mempunyai kecuraman 90 darjah, yang silap haribulan akan berguling2 jatuh ke kaki gunung sekira semangatnya tidak sampai. Tapi sekiranya beliau punya matlamat yang kukuh, semangat yang kental dan berani mengatasi kekurangan diri dengan bantuan akal dan sedikit tuah, tidak mustahil beliau akan dapat menawan puncak gunung tersebut dan turun ke bawah semula dengan badan dan otot kental dan lebih mudah mudah mencari jodoh selepas itu. Jadi, adakah aku akan survive dengan impianku? Tunggu.

No comments: