Monday, January 21, 2008

Coretan Kudus Buat Seorang Teman

Aku tahu hidup kadangkala tak seperti yang kita inginkan. Dan hidup kita kadangkala tak semudah yang kita sangkakan. Kadangkala hidup terlalu sukar untuk dimengertikan dan kadangkala perkara yang berlaku tak tercapai dek akal fikiran.

Namun itulah yang dinamakan sebuah kehidupan. Tak pernah sunyi dengan segala onak dan rintangan. Ada masanya kita begitu asyik melayari kehidupan, namun ada kalanya kita benar-benar rasa berputus asa untuk teruskan.

Langit tak selalunya cerah. Ada masa hujan turun mencurah. Namun itu tidak bererti impian kita musnah. Mungkin juga itu merupakan satu tuah. Siapa tahu, dengan adanya hujan nasib kita akan jadikan hidup kita lebih jauh berubah.

Manusia mana yang tidak punya masalah. Kadangkala masalah itu sendiri menjadikan kita lelah. Aku sendiri hampir tersungkur hanya kerana aku cepat mengalah. Namun kita perlu ingat, itu semua sememangnya lumrah. Dugaan dan rintanganlah yang menjadikan kita semakin gagah.

Betapa lama hatimu bernanah, betapa dalam lukamu berdarah, terimalah saja dengan pasrah. Tiada guna menyimpan dendam amarah, kelak itu yang bisa menjadikanmu menjadi lebih parah. Bukankah lebih baik menjalankan perintah berbanding melakukan sesuatu yang ditegah? Gunakanlah ini sebagai panduan untukmu hindari sikapmu yang lemah.

Tiadaku mampu untuk memahami segala isi hatimu. Tiadaku mampu untuk menyuntik semangat seperti yang kau mahukan dari aku. Tiada apa yang mampu kulakukan untuk menyembuh lukamu. Tapi bersabarlah wahai teman, hanya itu yang kumahu. Hanya doa yang dapat kukirimkan agar kebahagiaan menjadi milikmu.

Moga kebahagiaan menjadi milik kau dan aku...

-mimi-
21 jan 2008

No comments: